Harga Kendiri Dan Bagaimana Ia Mempengaruhi Penyesuaian Diri Individu
Oleh: Nur Amira
Harga kendiri sentiasa menjadi sebahagian yang penting dalam kehidupan manusia. Ia boleh menjadi peramal yang membawa hasil tertentu yang boleh mempengaruhi kesejahteraan psikologi kita. Malahan, ianya dikatakan bahawa dengan mempunyai harga diri yang tinggi akan membawa hasil positif dalam kehidupan kita. Ahli psikologis melihat harga diri sebagai ciri-ciri personaliti atau sifat (traits) seseorang individu. Kita boleh mengatakan bahawa harga kendiri setiap orang adalah berbeza.
Harga kendiri boleh ditakrifkan sebagai perhormatan seseorang itu terhadap diri sendiri. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai penilaian diri yang positif dan negatif terhadap diri kita. Setiap orang tidak dapat lari daripada membuat penilaian terhadap diri sendiri kerana ianya sesuatu yang biasa. Sesuatu penilaian keatas diri dapat membantu diri sendiri membuat refleksi diri mereka yang kemudiannya akan menyumbang kepada keputusan yang dibuat sebagai sikap terhadap diri. Apa yang pasti adalah tingkah laku seseorang individu akan mencerminkan persepsi kita yang ada pada diri kita sendiri dan juga cara kita menghargai personaliti diri.
Selain itu, harga kendiri adalah sebahagian daripada sifat yang secara relatifnya stabil dari masa ke masa, dengan beberapa orang yang mempunyai harga diri yang tinggi dan sesetengah orang mempunyai harga diri yang lebih rendah. Mempunyai harga diri yang tinggi juga akan dapat membantu orang berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang mereka mahu lakukan. Walau bagaimanapun, terlalu yakin terhadap diri sendiri tidak juga mendatangkan kebaikan. Kadang-kadang mempunyai harga kendiri yang agak rendah boleh membantu manusia dalam membuat penilaian yang lebih baik terhadap diri mereka sendiri. Oleh itu, ianya lebih baik jika seseorang itu mempunyai satu keseimbangan dalam satu harga kendiri.
Harga kendiri telah wujud dalam diri kita semua sejak awal kanak-kanak lagi iaitu merangkumi banyak faktor yang boleh mempengaruhi harga kendiri seseorang itu. Faktor-faktor yang selalunya mempengaruhi harga kendiri adalah keluarga, prestasi akademik, pekerjaan, hubungan, budaya dan lain-lain. Salah satu korelasi yang selalu dibuat oleh masyarakat adalah bahawa harga kendiri yang tinggi membawa kepada prestasi akademik yang baik dan ianya adalah tidak benar sama sekali. Mempunyai harga kendiri yang tinggi adalah sebahagian daripada hasil prestasi sekolah yang baik. Selain daripada itu, prestasi dalam suasana kerja juga kadang-kadang mempunyai pengaruh terhadap harga kendiri, tetapi setiap orang mempunyai hasil yang berbeza-beza.
Secara umumnya, satu kajian telah mendapati bahawa harga kendiri tidak semestinya menjadi punca kepada prestasi kerja yang cemerlang. Tetapi, ketabahan yang kuat dan keazaman seseorang itu yang menggerakkan dan membangkitkan semangat mereka selepas melalui kegagalan. Menurut Rosenberg, konsep kendiri (Self-concept) yang baik juga terdiri daripada harga kendiri yang tinggi. Beliau juga berkata apabila manusia dapat membentuk konsep kendiri yang baik, mereka selalunya tidak mudah disakiti dan terpengaruh dengan kata-kata orang lain. Mereka tidak mudah terjejas oleh sesuatu. Lebih-lebih lagi, mereka juga mempunyai kawalan diri yang baik serta tidak mudah gelisah apabila berhadapan dengan orang ramai. Individu yang mempunyai konsep kendiri yang baik juga biasanya sangat berpuas hati dengan diri mereka, bahagia dan bertenaga, mereka bersedia mengambil risiko yang sederhana dan sebagainya. Akhir sekali, manifestasi harga diri individu juga ditunjukkan melalui banyak perkara seperti pemberontakan (rebel). Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam mengembangkan harga kendiri yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
BAGAIMANA HARGA KENDIRI MEMPENGARUHI PENYESUAIAN
Sudut emosi
Kebahagian adalah berkait dengan mempunyai harga kendiri secara konsisten dan rapat. Kajian daripada Baumeister dan rakan sekerjanya ada menyatakan bahawa, dengan mempunyai harga kendiri yang tinggi dapat membawa kebahagiaan yang lebih besar, walaupun kajian mereka belum sepenuhnya. Seterusnya, seseorang yang mempunyai harga kendiri yang rendah lebih cenderung menyumbang ke arah depresi berbanding mereka yang mempunyai harga kendiri yang tinggi dan juga sebaliknya.
Sudut pencapaian
Pencapaian yang akan dipengaruhi penyesuaian boleh dibahagikan kepada dua segi iaitu dari segi pelajaran dan segi pekerjaan. Melalui segi pelajaran, harga kendiri yang tinggi belum dinyatakan sebagai penyebab mempunyai prestasi yang bagus dalam akademik. (Forsyth, 2007). Akan tetapi sebenarnya dengan mempunyai harga kendiri yang tinggi boleh menjadikan keputusan seseorang itu rendah dan lemah. Sebagai konklusinya bahawa pencapaian dalam pelajaran seseorang itu tidak dinilai melalui tinggi atau rendah harga kendirinya. Seterusnya,mengenai pencapaian seseorang dalam aspek pekerjaan pula, hasil kajian adalah bercampur dan tidak mempunyai keputusan yang tetap. Terdapat beberapa kajian mendapati bahawa dengan mempunyai harga kendiri yang tinggi akan dikaitkan dengan pencapaian yang lebih baik, namun terdapat sebahagian dari kajian yang lain mendapati bahawa tiada sebarang perubahan dalam aspek kerjaya jika dikaitkan dengan tahap harga kendiri seseorang. Akan tetapi kejayaan seseorang dalam kerjayanya mahupun pekerjaannya pasti mempunyai harga kendiri yang tinggi.
Bidang interpersonal
Baumeister dan rakan sekerjanya menyatakan bahawa mereka yang mempunyai harga kendiri yang tinggi lebih disukai dan menarik, selain mempunyai perhubungan yang lebih baik, dan memberikan pengaruh yang bagus terhadap orang lain berbanding mereka yang mempunyai harga kendiri yang rendah. Selanjutnya, mengenai perhubungan romantik pula, mereka yang mempunyai harga kendiri yang rendah lebih cenderung untuk tidak percaya dengan kasih sayang dan sokongan pasangan mereka dan bimbang tentang penolakan berbanding mereka yang mempunyai harga kendiri tinggi. Tiada sebarang bukti yang menyatakan bahawa tinggi atau rendah harga kendiri seseorang berkait dengan cepat atau lambat suatu perhubungan akan berakhir. Hubungan dalam kerja kumpulan pula ialah mereka yang mempunyai harga kendiri yang tinggi lebih cenderung untuk bercakap dan melontarkan idea-ideanya berbanding mereka yang mempunyai harga kendiri yang rendah. Secara langsungnya, mereka yang tinggi harga kendiri lebih dilihat menyumbang banyak kepada kumpulan.
Kelemahan harga kendiri yang rendah dan sifat menyalahkan diri sendiri
Apabila berhadapan dengan suatu perkara, mereka menjadi lebih demoralisasi selepas sesuatu kegagalan yang berlaku terhadap mereka berbanding mereka yang mempunyai harga kendiri yang tinggi. Bagi mereka yang rendah harga diri, kegagalan menyumbang mereka ke arah depresi dan motivasi yang tidak dapat ditentukan untuk melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik dan berkualti. Seterusnya, mereka yang mempunyai harga kendiri yang tinggi bertahan lebih lama jika kegagalan berlaku ke atas mereka. Selain daripada itu, individu yang mempunyai harga kendiri yang rendah sering mempunyai tanggapan negatif terhadap prestasi mereka seperti contoh dalam keadaan sosial, temuduga untuk pekerjaan mahupun dalam setiap kali ujian. Oleh itu, mereka yang mempunyai harga kendiri yang rendah tidak melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh kerana risau akan pada kegagalan. Kesannya, mereka akan tidak bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang dan kemudiannya mereka akan menyalahkan diri sendiri jika melakukan sesuatu yang kurang baik dan mereka akan berasa tertekan serta cenderung ke arah depresi. Putaran ini bukan sahaja akan berlaku pada mereka yang rendah harga kendiri, tetapi jugak berlaku pada mereka yang tinggi harga kendiri. Kesimpulannya harga kendiri yang rendah bukan sahaja akan mempengaruhi masa kini, tetapi juga masa akan datang.
Harga kendiri yang tinggi dan narsisisme
Narsisisme merupakan kecenderungan untuk menganggap diri sendiri penting manakala narsisistik pula ialah individu terlalu ingin memikirkan diri mereka baik dan golongan ini adalah sangat sensitif terhadap kritikan ke atas mereka (Twenge & Campbell, 2003) Mereka juga sibuk dengan kejayaan fantasi mereka, dan percaya bahawa mereka layak untuk mendapatkan rawatan atau layanan yang istimewa, dan mereka akan bertindak agresif jika mereka mendapat ancaman ke atas pandangan diri mereka. Seterusnya, mereka yang mempunyai harga kendiri yang tidak stabil juga akan bertindak sedemikian (Kernis, 2003) Golongan narcisisime ini akan agresif jika terdapat provokasi, tanpa provokasi mereka tidak mungkin lebih agresif daripada tidak narcisistik (Baumeister, Bushman & Campbell, 2000; Twenge & Campbell, 2003) Baumeister dan rakannya menyatakan bahawa golongan narsisistik yang mendapat ancaman, kecenderungan tinggi untuk terlibat dalam jenayah seperti kekerasan secara individua tau kumpulan,pendera dan aktiviti jenayah yang lain (Baumeister, 1999)
Nurul Amira
Sukarelawan Next Gen Link
RUJUKAN
- Baumeister, R. F. (1999). Self-concept, self-esteem, and identity. In Personality: Contemporary theory and research, 2nd ed. (pp. 339-375). Chicago, IL, US: Nelson-Hall Publishers.
- Duffy & Karen Grover. (2005) Psychology for living : adjustment, growth, and behavior today. Upper Saddle River, N.J. : Pearson Prentice Hall
- Campbell & Twenge. (2003). Individual differences in narcissism: Inflated self-views across the lifespan and around the world. Journal of Research in Personality, 37(6), 469-486.
- (2003). Toward a Conceptualization of Optimal Self-Esteem. Psychological Inquiry, 14(1), 1-26.
- (1965). Society and the adolescent self-image. Princeton, NJ: Princeton University Press.